KUALA LUMPUR : Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) Berhad menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Marriott International dan Hospital Islam Az Zaharah bagi cadangan projek pembangunan hartanah resort hotel di Pantai Chenang, Langkawi dan Pusat Penjagaan Kesihatan (Ambulatory Care Centre) di Kuantan,Pahang.

Majlis disempurnakan Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd Najib Mohd Noor, bersama Pengarah Kanan Pembangunan Hotel Asia Pasifik, Marriott International, Andree Susilo, dan wakil pihak Hospital Islam Az Zahrah, Ali Karimi Abd Rahman, serta disaksikan Naib Pengerusi Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Siti Azlin Ahmad Dauta. 

Menerusi perjanjian tersebut Koop Sahabat melantik Marriott International sebagai operator pengendali hotel yang mempunyai 300 bilik di atas tanah milik kumpulan Koop Sahabat di Pulau Langkawi dengan menggunakan jenama Fairfield By Marriott.

Pusat Penjagaan Kesihatan Ambulatory Care Centre pula akan dikendalikan Hospital Islam Az Zahrah, yang bakal menyediakan perkhidmatan perundingan, rawatan, atau intervensi penjagaan kesihatan menggunakan teknologi terkini perubatan.

Pusat perubatan ini juga akan dilengkapi dengan fasiliti rehabilitasi perubatan dan vokasional, oncology suites, assisted living, hemodialisis, pengimejan diagnostik, confinement suites, wellness spa dan beberapa lagi fasiliti sokongan perubatan.

Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd Najib Mohd Noor berkata, nilai pembangunan kasar keseluruhan kedua-dua projek dianggarkan berjumlah RM250 juta. 

Kedua-dua projek berkenaan dijangka beroperasi pada tahun 2024 dan 2026 serta dilihat mampu merancakkan aktiviti pembangunan hartanah dan pembinaan selaras dengan perancangan strategik yang telah dirangka pihak koperasi.

"Koop Sahabat juga yakin dengan pembangunan hartanah yang tidak hanya tertumpu kepada pembangunan perumahan sahaja, sebaliknya penumpuan harus diberikan kepada pembangunan secara Built To Suit di  mana mampu membantu pihak kerajaan menyediakan kemudahan asas seperti hospital, pusat pendidikan dan sebagainya.

"Koop Sahabat yang juga merupakan kontraktor yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan cuba untuk memainkan peranan dalam membantu pihak Kerajaan membina infrastruktur asas di negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu. 

Dalam majlis sama, Koop Sahabat dinobatkan sebagai koperasi ke-7 terbaik peringkat kebangsaan dalam profil 100 koperasi terbaik Malaysia pada tahun 2022 oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Untuk rekod, Koop Sahabat adalah sebuah koperasi perkhidmatan yang ditubuhkan pada 30 Ogos 2012 di bawah Akta Koperasi 1993 dengan keanggotaan kini melebihi 400,000 anggota di seluruh Malaysia yang terdiri daripada usahawan wanita B40.

Perniagaan Koop Sahabat kini meliputi perkhidmatan kewangan seperti Ar Rahnu, pembangunan hartanah, pelaburan korporat, pelaburan strategik serta pelaburan di dalam ekuiti awam.